Saturday, November 29, 2008

TAKZIAH

Hari semalam Jumaat 28 hb November 2008, merupakan hari yang bakal dikenang oleh seluruh rakyat Trengganu dan negara kita. Allahyarham YB Datuk Razali Ismail, Timbalan Menteri Pelajaran, menghembuskan nafas terakhirnya di Institut Aminudin Baki, Genting Highland pada jam 6.30 petang. Ketika berita ini sampai saya sedang bermesyuarat di rumah saya dengan AJK Pemuda UMNO Rompin. suasana sugul sebentar mengingatkan jasa yang dimainkan oleh Allahyarham dalam usaha untuk memartabatkan pendidikan dalam negara kita.


Pada jam 11 malam, saya pergi ke Kuantan Medical Center, untuk mendapatkan rawatan lanjutan ekoran sakit yang saya alami minggu ini. Sedang saya menunggu kehadiran Dr Aziz, saya dikejutkan pula dengan riuh rendah kakitangan KMC menyatakan ibu kepada YAB MB Trengganu baru meninggal dunia. Saya terus bergegas ketingkat 3, sempat berjumpa dengan YAB MB Trengganu Datuk Ahmad Said. Beliau kelihatan sugul dan saya lihat ramai sanak-saudara dan kenalan yang hadir bagi mengucapkan takziah. Kedua-dua kematian rakyat Trengganu kali ini ditakdirkan berlaku di dalam negeri Pahang.


Ini semua dugaan yang Allah swt berikan kepada YAB MB Trengganu. Saya sedih melihat keadaan beliau. Namun YAB MB Trengganu, jika dilihat daripada pakaiannya, nampak seorang yang mudah didekati, peramah , selalu tersenyum walau dalam keadaan yang saya rasa , jiwanya terlalu sedih mengenangkan seorang ibu yang dikasihi telah pergi meninggalkan beliau dan sanak saudara , begitu juga dengan pemergian seorang sahabat baik, sudah tentu ianya sukar dilupakan.


Rakyat Trengganu sudah pasti menangisi pemergian kedua-dua insan ini. Bagi Rakyat didalam parlimen Kuala Trengganu, mereka bakal menghadapi suasana pilihanraya kecil tidak lama lagi. Jika mengikut undang-undang, ianya tidak boleh melebihi tempoh 60 hari . Apapun , sudah pastinya rakyat dalam parlimen Kuala Trengganu akan mengingati segala jasa yang telah dicurahkan oleh Allahyarham Datuk Razali Ismail selama 2 penggal menjadi wakil rakyat disitu.
Saya dan seluruh rakyat dalam DUN Bukit Ibam mendoakan kesejahteraan untuk kedua-dua roh yang telah pergi menyahut seruan Ilahi , semoga roh mereka dicucuri rahmat oleh Allah swt.

Al- fatihah.

Friday, November 28, 2008

Banjir

Akhir-akhir ini cuaca nampaknya menandakan kita telahpun berada dalam musim tengkujuh. Kita sudah mula memperkatakan tentang banjir yang bakal melanda kampung-kampung yang berada dikawasan rendah dan ditepi-tepi sungai. Segala persiapan perlulah dilaksanakan dengan segera. Bagi peringkat DUN Bukit Ibam, tindakan segera perlu diambil bagi mengelakkan perkara buruk terjadi.


Jatankuasa Banjir peringkat DUN telahpun ditubuhkan. Jawatankuasa ini perlu mengambil langkah-langkah perlu bagi membantu rakyat dan penduduk kampung yang sering terlibat dengan banjir dapat diselamatkan dengan segera dan ianya juga bertindak untuk menjaga kebajikan meeka dengan sebaik mungkin. Pusat-pusat pemindahan perlulah dikenalpasti dengan segera. Bagi rakyat yang tinggal di kawasan yang terlibat dengan banir perlulah memberi kerjasama sepenuhnya apabila arahan pemindahan dikeluarkan oleh pihak berkuasa.


Saya difahamkan, pada tahun ini , banjir mungkin lebih buruk daripada yang telah lepas. Paras air dijangka makin meningkat daripada tahun lepas. Ini sudah pasti akan menyulitkan usaha menyelamat jika penduduk yang terlibat dengan banjir tidak mematuhi segala arahan yag bakal dikeluarkan nanti. Pihak Saya dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan yang alain akan segera memberi bantuan dengan memindahkan penduduk terbabit ketempat-tempat Pusat Pemindahan Banjir. Dalam situasi genting ini, nyawa perlu diselamatkan dengan segera. Harapan saya semoga kerjasama yang sepenuhnya dapat diberikan kepada petugas-petugas banjir. Ketua kampung (Tok 4) perlulah mengambil berat akan perkara ini dengan mengambil langkah-langkah perlu untuk menyelamatkan nyawa penduduk kampung. Mereka juga perlu menyediakan senarai lengkap mangsa-mangsa banjir yang terlibat.


Harapan saya , semoga jawatankuasa yang telah ditubuhkan nanti, dapat melaksanakan tugas dengan baik dan cemerlang. Terima kasih.

Selamat Harilahir Pak Lah!!


Alhamdulillah, semalam YAB Pak Lah telah menyambut hari lahirnya yang ke 69. Dalam usia yang sebegini begitu besar ertinya bagi seorang yang bergelar PM. Saya sempat membaca beberapa ulasan dan komen ya diberikan oleh Pak Lah dalam media, beliau begitu terharu dengan segala sokongan yang diberikan kepadanya selama ini. Pelbagai dugaan dihadapi olehnya dalam meneraju pentadbiran negara, lebih-lebih lagi menguruskan sebuah negara yang terdiri dari pelbagai bangsa dan latarbelakang hidup.



Menjadi seorang Perdana Menteri di Malaysia menjad idaman setiap rakyat Malaysia. Negara yang makmur, aman dan bakal muncul sebagai sebuah negara maju sedikit masa lagi. Kesemua ini bukanlah suatu yang mudah untuk dicapai. Sejarah kemerdekaan negara kita 50 tahun yang lalu, banyak mengajar kita bagaimana erti sebuah kemerdekaan , tidak dijajah pemikiran dan bebas membuat keputusan adalah suatu yang amat dihargai. Pelbagai kaum dapat hidup dengan senang lenang tanpa ada huru-hara dan pergaduhan kaum. Kesemua ini telah disimpulkan dalam apa yang dipanggil ‘Social Contract’ atau Perjanjian Sosial. Negarawan bangsa terdahulu telah bersama-sama dengan penuh jerih dan payah untuk membina negara ini bangun daripada belenggu penjajah. Akhirnya kita semua, anak-anak dan cucu-cucu mereka dapat hidup dengan senang lenang dan merasai nikmat daripada keamanan yang telah dibina ini.



Pak Lah melahirkan rasa betapa syukurnya kita dilahirkan di sebuah bumi bernama Malaysia. Kita patut bersyukur dengan anugerah yang tuhan berikan kepada kita semua. Kita patut bersama-sama dengan kepimpinan negara untuk terus memastikan agenda pembangunan negara dapat direalisasikan bersama. Jangan jadi sebahagian daripada rakyat malaysia yang tidak habis-habis menghentam membabi-buta, membuat fitnah yang bukan-bukan, mereka-reka persepsi untuk mengajak rakyat membenci kerajaan, sedangkan sebahagian daripada mereka dulu pernah berada dalam saf kepimpinan negara. Hari ini, mereka pula kononnya menjadi juara untuk membela rakyat, sedangkan merekalah yang pada asalnya telah meletakkan negara berada dalam keadaan haru-biru. Pak Lah ditakdirkan untuk menjadi Perdana Menteri , untuk memulihkan apa yang telah ditinggalkan oleh pemimpin terdahulu, meneruskan agenda yang telah dirancang , malah membetulkan silap dan salah yang telah berlaku jika ada. Pasti ada, kerana Perdana Menteri bukanlah rasul yang diutus, ‘maksum’ dari segala kesalahan dan kesilapan. Jadilah rakyat yang sejati dan suci hati untuk melihat negara ini berada dalam keadaan sejahtera , pesat membangun dan rakyat terus dibela.



Syabas Pak Lah. Tahniah diatas keberanian dan kejujuran yang ditunjukkan kepada kami generasi muda dalam kepimpinan negara. Semoga Allah swt, terus memberi kekuatan untuk terus mentadbir negara. Terus dipayungi rahmat dan dilindungi selalu. Selamat Harijadi Pak Lah.

Selamat Datang!!

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua,

Selamat datang ke Blog saya. Blog ini akan membicarakan pelbagai isu yang berkaitan dengan masyarakat dan kehidupan seharian kita di negara ini dan isu global. Saya cuba untuk memberikan yang terbaik dalam membicarakan pelbagai isu yang diketengahkan. Saudara/ri diminta untuk sama-sama membantu memberi komen yang terbaik untuk kemajuan bersama dalam membentuk masyarakat yang berwibawa dan dihormati.
Salam manis dari saya untuk semua.