Saturday, November 29, 2008

TAKZIAH

Hari semalam Jumaat 28 hb November 2008, merupakan hari yang bakal dikenang oleh seluruh rakyat Trengganu dan negara kita. Allahyarham YB Datuk Razali Ismail, Timbalan Menteri Pelajaran, menghembuskan nafas terakhirnya di Institut Aminudin Baki, Genting Highland pada jam 6.30 petang. Ketika berita ini sampai saya sedang bermesyuarat di rumah saya dengan AJK Pemuda UMNO Rompin. suasana sugul sebentar mengingatkan jasa yang dimainkan oleh Allahyarham dalam usaha untuk memartabatkan pendidikan dalam negara kita.


Pada jam 11 malam, saya pergi ke Kuantan Medical Center, untuk mendapatkan rawatan lanjutan ekoran sakit yang saya alami minggu ini. Sedang saya menunggu kehadiran Dr Aziz, saya dikejutkan pula dengan riuh rendah kakitangan KMC menyatakan ibu kepada YAB MB Trengganu baru meninggal dunia. Saya terus bergegas ketingkat 3, sempat berjumpa dengan YAB MB Trengganu Datuk Ahmad Said. Beliau kelihatan sugul dan saya lihat ramai sanak-saudara dan kenalan yang hadir bagi mengucapkan takziah. Kedua-dua kematian rakyat Trengganu kali ini ditakdirkan berlaku di dalam negeri Pahang.


Ini semua dugaan yang Allah swt berikan kepada YAB MB Trengganu. Saya sedih melihat keadaan beliau. Namun YAB MB Trengganu, jika dilihat daripada pakaiannya, nampak seorang yang mudah didekati, peramah , selalu tersenyum walau dalam keadaan yang saya rasa , jiwanya terlalu sedih mengenangkan seorang ibu yang dikasihi telah pergi meninggalkan beliau dan sanak saudara , begitu juga dengan pemergian seorang sahabat baik, sudah tentu ianya sukar dilupakan.


Rakyat Trengganu sudah pasti menangisi pemergian kedua-dua insan ini. Bagi Rakyat didalam parlimen Kuala Trengganu, mereka bakal menghadapi suasana pilihanraya kecil tidak lama lagi. Jika mengikut undang-undang, ianya tidak boleh melebihi tempoh 60 hari . Apapun , sudah pastinya rakyat dalam parlimen Kuala Trengganu akan mengingati segala jasa yang telah dicurahkan oleh Allahyarham Datuk Razali Ismail selama 2 penggal menjadi wakil rakyat disitu.
Saya dan seluruh rakyat dalam DUN Bukit Ibam mendoakan kesejahteraan untuk kedua-dua roh yang telah pergi menyahut seruan Ilahi , semoga roh mereka dicucuri rahmat oleh Allah swt.

Al- fatihah.

No comments: